Translate

20131107

Telah tertulis rezeki kita

BismilLahirRahmanirRahim.
Sekian lamanya saya tidak menulis di sini. Entah kesibukan apa yang telah menghalang saya daripada menulis. Tak mengapalah. Itulah yang telah berlalu dari hidup saya, tak mungkin kembali.. masa dan usia.

Saya teringat ketika saya masih seorang pelajar di USM, saya juga aktif dalam menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat. Menjadi sukarelawan dalam bidang kaunseling - Unit Kaunseling Islah. Uniknya kaunseling yang dijalankan semasa itu ialah ianya berlangsung hanya melalui telefon.

Macam-macam masalah yang saya temui dan kebanyakannya berpunca dari jauhnya manusia dengan Penciptanya. Kadangkala kita tidak yakin dengan janji Allah pada kita, maka lahirlah kebimbangan yang melampau sehingga menjadi stress. Kita tidak redha dengan apa yang Allah jadikan dan rezekikan kepada kita, maka lahirlah rasa tidak bersyukur dan runsing memikirkan hari esok yang tidak berduit.

Entahlah. Menulis atau bercakap memang mudah. Namun hendak mempraktikkan dalam kehidupan seharian sentiasa menjadi cabaran yang sangat hebat. Susah memang susah, tapi kena buat jugalah. Dah namanya kita ni hamba Allah.

Kita hanya perlu yakin kepada Allah. Bagaimana nak yakin? Kukuhkanlah kembali tunjang keimanan kita, iaitu aqidah. Perhatikan alam kejadianNya, yang sentasa mengingatkan kita bahawa setiap apa yang Allah jadikan, telah tertulis baginya rezekinya.

Kita berikhtiarlah dan berdoalah. Berdoalah dan berikhtiarlah. Insafilah bahawa ikhtiar kita itu semuanya adalah dengan izin Allah, maka berdoalah kepada Allah agar dilorongkan ke jalan yang akan membawa kita kepada apa yang telah Allah tuliskan untuk kita.

Pegang kuat-kuat di dalam hati. Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya. Allah Maha Berkuasa, tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah, Yang Maha Tinggi dan Maha Agung. Allah.

20131104

SALAM MAAL HIJRAH: Hati tempat jatuh pandangan Allah

Salam Maal Hijrah. Semoga tahun ini adalah yang terbaik selama umur kita di bumi ini. Semoga amal kebaikan kita di terima Allah, dan amal kejahatan kita diampuniNYA. Semoga Allah menganugerahkan kita dengan rahmah dan keampunanNYA. Saya teringat sebuah kisah yang kalau dulu-dulu masa zaman di USM, selalu disebut-sebut di dalam kuliah-kuliah agama. Kisah seorang pencuri yang hidup di zaman Nabi Musa a.s... seumur hidupnya 40tahun kerjanya hanyalah mencuri.

Ditakdirkan Allah, suatu hari beliau melihat seorang ahli ibadah (abid) berjalan dan terlintas di hati beliau untuk berjalan bersama abid tersebut, dengan harapan mendapat sedikit keberkatan.. Lalu beliau pun berjalan ke arah abid tersebut. Namun sebaik melihat pencuri itu menghala ke arahnya, abid itu pun terus berasa takut dan cuba mengelak dengan berjalan lebih laju agar tak dapat disaingi oleh pencuri tadi. Tahu apa yang terlintas di hati si abid tadi? Abid tadi takut sekiranya berjalan sama dengan pencuri itu, maka rosak segala kebaikan dan amalannya selama 40tahun hidupnya. Lagipun dia berasa tidaklah setanding untuk dia berjalan dengan si pencuri... kan dia seorang abid yang telah istiqamah beribadah selama 40 tahun.

Akhirnya setelah beberapa lama, sampailah mereka kepada Nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s. terus berpaling dan bersabda kepada mereka berdua, "Aku baru sahaja mendapat wahyu dari Allah Taala supaya memberitahu kamu berdua bahawa segala amalan kamu telah dimansuhkan oleh Allah."

Terkejutlah keduanya. Si pencuri berbahagialah, kerana dosanya mencuri selama 40 tahun dimansuhkan.. namun si abid berasa sangat sedih dan dukacita kerana amalannya selama 40tahun telah hapus sekelip mata.

Rupa-rupanya si pencuri itu, walaupun kerjanya mencuri, dia tidak suka akan perbuatannya itu. Dia miskin dan tanggungannya banyak. Masyarakat ketika itu sudah rosak dan orang kaya enggan membantu fakir miskin. Dia mencuri kerana terpaksa. Oleh itu, setiap kali dia mencuri, dia amat merasa bersalah dan berdosa. Jiwanya terseksa dan menderita. Selama 40 tahun dia menanggung rasa berdosa itu dan selama itu juga jiwanya parah menanggung derita. Selama 40 tahun hatinya merintih meminta belas kasihan, keampunan dan mengharapkan kasih sayang Tuhan.

Si abid pula begitu yakin dan berasa amal ibadahnya yang banyak itu telah menjaminkan syurga untuknya. Sehingga dia berasa sungguh mulia dan terlalu baik. Sehingga dia berasa dirinya tidak layak untuk bergaul dan berjalan sama seorang yang berdosa dan hina seperti si pencuri. Dia rasa dia hanya layak berjalan bersama para Nabi.

Subhanallah. Cerita ini begitu terkesan di jiwa saya, sentiasa berulang-ulang di dalam minda saya. Betapalah kita ini perlukan kepada rahmat dan keampunan daripada Allah. Apa juga kebaikan maupun kejahatan walaupun sebesar zarah Allah Maha Melihatnya. Maha Suci Allah yang mengetahui segala isi hati manusia. Yang tidak melihat akan amalan-amalan lahir tetapi apa yang ada di dalam hati. Nikmaat kesusahan dan kesenangan semuanya Allah datangkan sebagai ujian. Hakikatnya kita hanyalah hamba, yang di mana pun duduknya kita di dunia ini, status kita yang hakiki adalah hamba. Beribadahlah kita sebagai hamba. Berjalanlah kita di atas muka bumi ini sebagai hamba. Hambanya kita hamba di jiwa.  Hamba yang tali hatinya hanya bertaut kepada Allah swt.

Tugas kita hanyalah beribadah kepada Allah sebagai hambaNYA. Hak Allah lah untuk menilai segalanya. Moga kita dijauhkan dari sifat sombong dan berasa mulia dengan sebab banyaknya amal kebaikan kita...

سنن أبي داوود ٣٥٦٨: حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يُونُسَ حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرٍ يَعْنِي ابْنَ عَيَّاشٍ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ إِبْرَاهِيمَ عَنْ عَلْقَمَةَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ مِنْ كِبْرٍ وَلَا يَدْخُلُ النَّارَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ خَرْدَلَةٍ مِنْ إِيمَانٍقَالَ أَبُو دَاوُد رَوَاهُ الْقَسْمَلِيُّ عَنْ الْأَعْمَشِ مِثْلَهُ
Sunan Abu Daud 3568: 
"Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Tidak akan masuk surga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi, dan tidak akan masuk ke dalam neraka orang yang dalam hatinya terdapat keimanan sebesar biji sawi." Abu Dawud berkata, " Al Qaslami meriwayatkannya dari Al A'masy seperti hadits ini."


20131101

Azam Tahun Baru 1435H

Diam tak diam beberapa hari lagi kita akan menyambut Maal Hijrah.  Tahun Baru bagi orang Islam, tahun 1435H. 2 bulan lagi pulak, sambut tahun baru 2014. Sekejap saja masa berlalu, terasa baru lagi berpindah ke utara ni.. diam tak diam dah hampir setahun di sini.
Malam ni selepas Isya' tidak banyak yang saya lakukan.  Pasang laptop untuk update page-page saya di facebook, jawap PM mana yang ada, update di group Seri Niaga Bazaar.  Yang saya nak kongsikan ialah salah satu PM yang saya terima hari ini.  Beliau bertanyakan tentang pemasaran di facebook.  Beliau ada produk, tapi tidak tahu bagaimana untuk memasarkan.  Sedikit sebanyak saya cuba jawab persoalan-persoalan beliau semampu saya.  Akhirnya kami setuju untuk berjumpa esok lusa ni, untuk perbincangan lanjut. Nanti ye dik, kita jumpa kita cerita habis-habis.  Pasti ada jalannya...
Lalu saya pun dok berfikir-fikir sepetang tadi.  Mungkinkah ini masanya yang sesuai untuk saya mulakan.  Membantu.  Memberi.  Menambah nilai.  Memang sejak balik daripada program IMKK Dr Azizan Osman, saya menanam azam untuk membantu dan menambah nilai kepada orang lain.  Namun belum banyak yang saya buat.  Pendek cerita tak ke mana lagi pun.  Dok bercongak-congak dan masih teragak-agak.  Bak kata mentor saya, terhegeh-hegeh.  Sampailah balik daripada IJI, pun masih tak bergerak.  Aduih, apalah agaknya yang berat sangat.  Kata nak terbang macam helang... tapi masih terkedek-kedek macam itik pulang petang.
    Maka sempena tahun baru hijriah ni, saya berjanji untuk memulakan langkah pertama saya untuk memberi dan menambah nilai, dengan harapan terlaksana tanggungjawab saya.  Saya ada ilmu, walaupun sedikit, namun jika tidak saya kongsikan, saya berdosa.  Petang ini, telah saya jumpa kunci kepada mangga yang telah merantai kaki saya selama ini, dan telah saya bukakan.
     Saya sedar saya ada kelebihan yang boleh saya kongsikan terutamanya kepada saudara-saudara saya yang wanita.  Yang mahu berniaga tapi kurang pendedahan.  Yang ada produk tapi kurang nampak jalan memasarkannya.  Atau yang ada produk tapi tiada masa untuk menguruskannya dengan baik.
     Saya bukanlah pandai apa lagi yang terbaik untuk mengajar, tapi ilmu ini takkan membiak jika saya tidak biakkan dan kongsi dengan lebih ramai orang. Lagi pun kalau nak tunggu diri jadi sempurna dan tersangat pandai baru nak berkongsi ilmu.. memang mission impossible lah, kan?  Kenapa? Nobody's perfect... so nak tunggu sampai jadi perfect memang takkan berlaku.  Hehe.  Semoga lepas ini hidup saya lebih bermakna dan saya dapat memberi manfaat kepada orang lain.  Kan orang yang terbaik tu ialah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain.. kan??
     Okay, stay tuned.  Saya akan update sesi perkongsian saya nanti.. Saya akan mulakan di 5 kawasan dulu.  Saya akan manfaatkan diri saya  ini semaksima mungkin.  Semoga tertebus kelalaian saya selama ini dalam menjalankan peranan sebagai khalifah Allah di bumiNYA ini.  Amiin..

Salam sayang,
Aida Izham
The Boss
Modern Wafdan / R&B Deli-Bites / Kedai Cik Puan
Page Manager
16 Kisses Closet

20131025

BIAR ORANG AMBIL HAK KITA

[ BIAR ORANG AMBIL HAK KITA, JANGAN KITA AMBIL HAK ORANG ]

Seimbas lalu, kata-kata ini bagai menggambarkan sikap lemah, mudah mengalah dan rela dipijak. Namun, saya berazam untuk meletakkan kata-kata ini antara moto hidup saya.  Inilah juga yang akan saya sebatikan di dalam jiwa anak-anak saya.  Kata-kata ini telah diucapkan oleh seorang yang saya letak sebagai sahabat, rujukan dan pendidik jiwa saya, ketika saya menziarahi beliau di rumahnya baru-baru ini.  Terus lekat di hati  dan sentiasa terngiang-ngiang di telinga saya.

Alkisahnya manusia.. dalam mencukupkan keperluan hidup kadangkala terlupa.. kadangkala terambil milik orang lain.. Tanpa sedar dan adakalanya sedar tapi bersikap tak apa.  "Ala.. dia tu kaya.  Ala.. ambil sikit aje, bukan banyak pun... Ala.. aku tengah susah ni, guna dululah.. buat pusing modal.. nanti bayarlah balik"  Macam-macam cara manusia ni nak mencipta alasan untuk meletakkan diri di pihak yang tidak bersalah.

     Saya selalu percaya dari dulu lagi, jika ada hak milik orang yang kita ambil dengan sengaja atau buat-buat terambil.. bersiap sedialah untuk kehilangan sesuatu milik kita yang nilainya jauh lebih besar daripada apa yang telah kita ambil.  Akhirnya, bila dicongak-congak tiada untungnya mengambil hak orang ni.. memang hukum alam yang telah Allah jadikan.. satu kita beri, sepuluh Allah balas.. begitu juga satu kita ambil, sepuluh Allah ambil sebagai harga yang perlu kita bayar.

     "Barangsiapa yang pernah menzalimi seseorang, baik kehormatannya maupun lainnya maka mintalah dihalalkan hari ini, sebelum datang hari yang ketika itu tiada dinar dan dirham.  Jika ia memiliki amal soleh, maka diambillah amal solehnya sesuai kezaliman yang dilakukannya.. namun jika tiada amal solehnya, maka diambil kejahatan orang itu lalu dipikulkan kepadanya"
(HR Bukhari)

Takut, kan.. dahlah amal soleh kita tak banyak mana, yang ada pun entah diterima atau tidak.. kena pulak bagi kat orang yang telah kita ambil haknya di dunia.. akhirnya jadilah kita orang yang bankrap di akhirat. Bankrap dunia boleh juga makan, minum, bersuka ria dan menikmati kehidupan.. kalau bankrap di akhirat.. ishh.. Nauzubillahi min dzalik.

      "Sesiapa yang merampas hak seorang Muslim dengan sumpahnya maka sesungguhnya Allah swt telah mempastikan neraka untuknya dan mengharamkan untuknya syurga."  Seseorang bertanya baginda :  "Walaupun benda itu sedikit, wahai Rasulullah?"  Jawab Baginda:  "Walaupun sebatang kayu sugi"
(HR Muslim)

Semoga Allah memberikan kita seketul hati yang celik, yang tidak dibutakan dengan sifat tamak.  Kunci kepada segalanya ialah dengan bersyukur dengan pemberian Allah banyak atau sedikit, buruk atau baik.  Dengan bersyukur, semoga kita sentiasa diingatkan Allah untuk tidak mengambil apa yang bukan hak kita walau apa pun alasannya dan sentiasa merasa cukup (qana'ah) dengan pemberianNYA.
Semoga Allah mengampuni kita, keturunan kita, saudara mara kita dan sahabat taulan kita serta memberi kita ruang dan kesempatan untuk kita perbaiki segala kesilapan yang telah kita lakukan sebelum sampai saat kepulangan kita kepadaNYA.

Amiin.. Ya Rabbal 'Alamiin..

" Seorang mukmin itu adalah orang yang dapat dipercayai atas harta dan jiwa orang lain "
 (HR Ibnu Majjah)



20131022

TIPS: Ayam Goreng ala KFC

Hari ni saya nak kongsikan cara-cara menggoreng ayam goreng KFC.. yang rangup dan lazatious.
Sebenarnya menggoreng ayam ala KFC ni senang aje, cuma kena rajin.. sebab melibatkan banyak steps.  Dan kena sabar menggorengnya.. bukan macam goreng ayam biasa ye diknon..
Ok, memula pergi beli ayam yang segar, yang beratnya sekitar 1.8kg.. tapi jangan lebih 2 kg..
1)    Bersihkan ayam.  Tos.  Gaulkan garam dan lada sulah rata-rata. Jika mahu, boleh juga gaulkan dengan rempah perapan ayam sendiri atau yang siap dijual.  Alihkan ayam ke dalam tapisan supaya tiada air yang bertakung dan simpan ayam utk diperap selama sekurang-kurangnya 2 jam atau semalaman. (dlm peti ais bukan freezer,jika nak simpan semalaman). 


2)  Bila dah nak goreng ayam, keluarkan ayam tadi.  Bila ayam dah berada pada suhu bilik, masukkan ayamdalam plastik besar, letak tepung goreng ayam secukupnya dan goncang utk gaul rata.  
Tips: Pastikan ayam kering dan buat 3-4 ketul setiap kali. 
Pastu, letakkan atas rak macam dlm gambar supaya tiada lebihan tepung.
    Lepas tu, pecahkan telur dan pukul dengan buttermilk (boleh buat sendiri di rumah = susu+sedikit cuka atau lemon juice).  Celup ayam tadi rata2 ke dalam adunan telur ni dan masukkan sekali lagi dalam beg berisi tepung tadi.  Goncang untuk salutan kedua.  Bila dah tersalut rata, letak balik atas rak tadi.  Biarkan 20 minit.  
Tips:  Mesti biarkan sekejap sebelum goreng, akan nampak salutan tu jadi 'crust'.



3)   Panaskan minyak yang banyak.  Bila minyak dah betul-betul panas,  gorengkan ayam tadi (secara deep frying).  Jangan masukkan ayam banyak sangat, beri ruang.  Jangan godek2 sangat, terutama dalam 5minit pertama.  Bila ayam dah masak, letak balik atas rak tadi sekejap.


4)  Hidangkan.  Dengan mashed potato & coleslaw ke.. dgn cili sos ke.. dgn cheese sos ke..


     Sedap.  Cuba tau.. 

20131017

Ukhuwwah filLah

5hari tidak menari jejari saya menaip di sini. Takpe, saya masih baru, jadi cutinya saya menaip di sini mana mungkin dirindui.  5 hari ini saya menguruskan kesihatan diri..yelah umur semakin meninggi ni macam-macam yang mendatang. Doa saya saban hari agar Allah memberi izinNya untuk saya terus menari di bumiNya ini sehinggalah tertebus apa yang perlu saya tebus. Hingga mampu puteri-puteri saya berdikari dan hingga Allah datangkan hamba-hambaNYA yang soleh mengambil alih puteri-puteri saya dari genggaman tangan saya, untuk dipimpin menari lagu bahagia dunia akhirat di atas bumiNYA ini.
   Faham ke..haih..bersastera pula sesekali. Namun itulah hasrat hati saya, agar puteri-puteri saya dikurniakan kebahagiaan, ketenangan dan kejayaan dunia dan akhirat. Moga tercapai segala hasrat dan impian hati mereka, agar mereka terus hidup tinggi mendukung amanah sebagai khalifah di atas bumi ini. Agar mereka tergolong dalam golongan hamba-hambaNYA yang lebih baik amalannya, agar sentiasa dibukakan pintu rahmat dan redhaNyA untuk mereka.
  

20131005

POWER OF SYUKUR


[ THE POWER OF SYUKUR ]

Alhamdulillah.  Atas segala nikmatNYA, pemberianNYA dan juga dugaanNYA.  Sebenarnya setiap detik hidup kita, setiap hembusan nafas kita, setiap degup jantung kita, setiap titis airmata duka mau pun suka kita.. kita wajib bersyukur.  Kenapa?  Sebab kita ini hanyalah hambaNYA.  Semua pemberianNYA adalah yang terbaik untuk kita.  Hanya mata kita yang melihat sesuatu perkara itu buruk dan baik. Sedangkan di sisi Allah, semua yang direncanakan untuk kita adalah yang terbaik.  Mustahil Allah akan menzalimi kita kerana dia al-'Adl, Maha Adil.  Kadangkala, sesuatu itu kita lihat buruk untuk kita sedangkan ianya sebenarnya yang terbaik untuk kita.  Hakikat ini mungkin kita tak nampak hari ini, minggu depan... mungkin setelah 20 tahun baru kita nampak.. owhhh... rupanya apa yang Allah beri 20 tahun lepas padaku adalah yang terbaik untukku.  

     "... Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu.  Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.."  (al- Baqarah : 216)

     Maha Suci Allah.  Nampak tak, betapa kita sebagai hambaNYA mesti bersyukur.  Aturan Allah untuk kita adalah yang sebaik-baiknya.  Lagipun jika tiada suka duka dalam hidup mesti bosan, kan?  Lagipun Allah bagi nikmat 100, ujian 1.  Dia beri lagi nikmat 100, ujian 1.  Terlalu banyak nikmat daripada Allah .. tak terhitung.  Apa kata kita senaraikan 10 nikmat Allah kepada kita yang harus kita syukuri sekarang.  Iya, sekarang.. Cer tulis..
     Siapa yang dapat tulis kesemua 10 tu dalam masa kurang 5 minit?  Siapa yang ambil masa lebih daripada 1 minit untuk mula menulis?  Siapa yang penat fikir apa nak tulis?  Siapa yang tak boleh berhenti menulis walaupun selepas tulis 10.. 
     Apa kata mulai hari ini, selepas solat Subuh, kita tulis 10 nikmat yang Allah beri pada kita, dan bersyukur.  Kita mula dengan sedikit dulu, sekurang-kurangnya kita dalam proses menjadikan diri kita ni hambaNYA yang sentiasa bersyukur.  Lepas tu, bila dah biasa dengan mensyukuri setiap nikmat Allah tu, apa kata kita tulis pula 10 dugaan atau perkara yang kita tak suka yang Allah beri pada kita.  Tulis je, dan untuk setiap satunya cuba kita cari apa hikmahnya.  Pasti jumpa jika kita cari menggunakan mata hati seorang hamba Allah yang bersyukur...
     Semoga lepas ni, kita akan jadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur walau apa pun yang diberi kepada kita.  Sentiasa memperbaiki diri, sentiasa berusaha untuk meletakkan redha Allah sebagai matlamat hidup kita.  Amiin.

                                                                                              عَنْ صُهَيْبٍ بن سنان قالَ: رَسُولُ اللَّهِ                                  جَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ 
              وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ                                                                                                   رواه مسلم

Dari Shuhaib bin Sinan dia berkata: Rasulullah bersabda: “Alangkah mengagumkan keadaan orang yang beriman, karena semua keadaannya (membawa) kebaikan (untuk dirinya), dan ini hanya ada pada seorang mukmin; jika dia mendapatkan kesenangan dia akan bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya, dan jika dia ditimpa kesusahan dia akan bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya”    (Riwayat Muslim)
      
     
     

20131004

Intensif Jutawan Industri 2013 di PWTC

Bunting- saja ambil gambar mentor :D
 Nak kongsi cerita saya ke Intensif Jutawan Industri yang berlangsung selama 3 hari (27-29 September, 2013).  Kenapa dan macamana saya boleh terjebak.  Hehehe.. terjebak tuuu....
     Sebelum ini, saya agak meminggirkan diri, bukan tak ingin nak memajukan diri tetapi sentiasa fikir boleh ke.. boleh ke.. (sampai 48 tahun.. :D)  Saya kenal Dr Azizan Osman daripada zaman Seminar Tarikh Lahir.  Masa tu kena bayar RM50.  Saya tak ingat lokasinya (tak banyak) tapi yang saya ingat di Seremban tak ada.  Masa tu saya masih tinggal di Seremban.  Jadi mula bercongak-congak.  Berbaloi ke aku pergi ni..yang terdekat di melaka atau kl. Malam pulak tu. Entah dia ni betul ke tak, nanti kalau dia kelentong je macamana.. Pendek kata macam-macam lah dicongak.  Jadi, saya pun google (konon cerdik ..laah sangaat.. nak cari maklumat tentang Azizan Osman sebelum buat keputusan nak pergi ke tak)
                   
                         Dewan Tun Razak 2 dari bangunan utama PWTC

Bila dah google, keluarlah segala ulasan, komen dan forum pun ada.  Banyaknya cerita yang negatif.  Saya ingat masa tu berhari-hari juga misi mencari maklumat tu.  Hasilnya, NO.  Tak nak jadi tipah tertipu.... Maka teruslah saya dengan cara hidup saya, berniaga online sikit-sikit sehinggalah saya berpindah ke Kedah pada awal tahun 2013.
     Niat saya berpindah ke Kedah adalah untuk memulakan hidup baru di tempat baru dalam suasana baru.  Dengan izin Allah, saya mula terbaca post daripada seorang rakan facebook saya tentang Berani 2013.  Cara dia mengolahnya membuatkan saya tertarik.  Lepas tu saya pun google (ngeh ngeh ngeh..), pendekkan cerita saya ke website Berani 2013 tu tapi pendaftaran dah ditutup.  Frust tapi tetap fikir, ada hikmahnya.  Tidak lama selepas itu, saya dapat email dan sms tentang 'Fesbuk Power'.  Hati saya berkata wahh.. inilah yang sebenarnya saya perlukan.  saya perlu ada ilmu untuk berniaga di facebook.  Saya pun daftar Seminar Fesbuk Power ke apa namanya, free kalau daftar 3 orang.  Saya tak kenal sesiapa lagi di Kedah ni, saya pun letak je nama anak-anak saya.
     Pendekkan cerita, lepas seminar free tu saya daftar untuk Advanced Fesbuk Power.  Walaupun teragak-agak, dengan dorongan anak saya, saya pejam mata dan bayar untuk seat VIP.  Pendek cerita lagi, masa Advanced Fesbuk Power (yang dikendalikan oleh Mr Bryan Gan), Dr Azizan Osman muncul untuk satu sesi dan itulah sebenarnya kali pertama saya mendengar daripada beliau.  Saya terus berasa betapa ruginya saya tak ambil peluang mengenali beliau di zaman tarikh lahir dulu.  Maka bermulalah keinginan saya untuk terus belajar daripada beliau.  
     Julai 2013, saya menyertai Intensif Mentor Kekayaan dan Kejayaan (IMKK).  MasyaAllah.  IMKK telah membuka mata dan minda saya tentang banyak perkara.  Yang penting selepas IMKK saya mula memaafkan diri saya atas kesilapan-kesilapan yang telah saya lakukan di dalam hidup saya, memaafkan mereka yang telah menyakiti saya dan mula menanamkan sifat-sifat positif dalam diri. Sebelum ini, bukan tak tau.. cuma IMKK ini diolah sehingga kita menjadi begitu positif untuk menjadi manusia yang terbaik. Saya juga telah belajar bagaimana untuk design semula hidup saya dan melakar impian saya. 
     Kemudian, saya hadir ke Intensif Jutawan Industri baru-baru ini.  Bunyinya hebat, namun itulah impaknya.  Saya diajar untuk yakin saya adalah jutawan industri, dan diajar bagaimana untuk berfikir dan bertindak ke arah itu. Dan banyak lagi.  Tak dapat saya tuliskan di sini (malas) sebab ilmu ini tak dapat nak diceritakan.  Perlu pergi sendiri untuk menuntut, baru dapat sampai ke hati apa yang diajarkan, dan baru dapat merasai betapa bernilainya ilmu tersebut.  InsyaAllah, ada ruang masa, usia dan kesihatan yang baik, saya pasti akan hadir lagi untuk belajar dan belajar lagi.



20131003

Indahnya Pulau Pasrah


" Cukuplah Allah bagi kami, sebaik2 pembela dan sebaik-baik penolong " ~ Aali 'Imraan 173

Pernah tak anda berada di dalam situasi berat sebelah?  Maksud saya, anda diburuk-burukkan di kalangan teman-teman atau saudara mara tetapi anda tidak mampu membela diri. tidak diberi peluang membela diri atau pun mungkin kata-kata pembelaan anda tidak diterima langsung.  Tentu anda rasa sedih, tertekan dan rendah diri yang teramat, kan?  Maklumlah, bila berada di kalangan mereka, anda dapat merasakan bahawa mereka semua sedang berkongsi suatu cerita yang anda sendiri tidak pasti apa, tetapi anda dapat merasakan bahawa anda tidak diraikan di situ malah dipandang rendah.  Macam hidung tak mancung pipi tersorong-sorong pun ada.. Sedih kan?  Rasa nak pergi jauh, sejauh-jauhnya dari semua orang.  Kan??
     Macamana saya tahu perasaan ni?  Sebab saya pernah mengalaminya.  Namun saya beruntung sebab dikurniakan Allah sifat sabar yang tinggi.  Saya tidak pernah ambil kira apa yang orang kata tentang saya.  Bagi saya Allah lebih mengetahui apa yang berlaku.  Allah tahu situasi apa yang saya lalui yang jika diberi peluang membela diri pun, tidak mungkin dapat saya ceritakan kepada mereka.  Jika pun dapat saya ungkapkan dengan perkataan, saya berani katakan, takkan mungkin mereka faham apa yang saya lalui.  Demikianlah yang berlaku yang membawa saya ke sebuah pulau yang saya beri nama Pulau Pasrah.  Di pulau itu saya jalani hidup saya bersama anak-anak saya, bercampur dengan orang lain sekadar perlu dan memikirkan bahawa saya dibenci oleh semua orang.
     2013 membawa jambatan baru untuk saya keluar dari pulau itu.  Saya belajar memaafkan semua orang, saya belajar memaafkan diri sendiri atas kesilapan-kesilapan yang telah saya lakukan.  Berada di Pulau Pasrah terlalu lama telah merugikan diri saya dari segi mental, emosi dan ekonomi.  Saya sendiri yang memilih untuk memencilkan diri atas sebab yang saya sendiri rasa begitu besar.  Begitulah kecilnya jiwa saya suatu masa dulu.
     Bukankah sepatutnya saya keluar melawan ombak-ombak besar yang tujuannya nak menenggelamkan saya?  Bukankah sepatutnya saya belajar selok-belok berenang dan menyelam agar saya dapat berenang di dasar dan mengurangkan keletihan melawan ombak?  Bukankah lebih baik saya membina kekuatan untuk merempuh ombak daripada bersembunyi di pulau sendirian?
     Wahh.. Hari ini saya mampu menulis tentang ini adalah kerana izin Allah jua.  Syukur, berada di pulau itu telah memaksa saya memintal tali harapan dan pergantungan hanya kepada Dia Yang Maha Kuasa.  Dengan tali itulah, saya mampu bergayut kukuh untuk keluar, meredah apa yang datang dan kini sedang mengutip apa yang telah lama terlepas dari genggaman; dan cuba meraih apa yang belum sempat digenggam lagi.
     Panjang pula intro saya.  Apa yang ingin saya kongsikan hari ini ialah potongan ayat di atas.  Benarlah janji Allah tersebut.  Memanglah benar, kan.. tapi apa yang saya maksudkan, hari ini Allah mengajar saya untuk benar-benar yakin dengan janji Allah.  Kenapa?
     Hari ini, setelah lebih 15 tahun membawa rasa rendah diri dan malu kerana pernah diburuk-burukkan oleh seseorang yang suatu masa dulu amat rapat dengan saya,  saya mendapat khabar yang bila saya mendengarnya, saya tahu, pembelaan Allah telah datang untuk saya.  Subhanallah. Alhamdulillah.  Allahu Akbar.  Laa ilaha illalLah.
     Saya bersyukur.  Syukur kerana setelah 15 tahun, akhirnya mereka tahu cerita sebenar.  Mungkin selama ini ada yang menyalahkan saya atau mungkin membenci saya bersandarkan kepada cerita yang mereka dengar.  Tak mengapa, saya juga mungkin akan mengambil pendirian yang sama jika saya jadi mereka.  Saya telah lama maafkan mereka.  Saya doakan mereka mendapat iktibar daripada apa yang berlaku.  Lidah tidak bertulang, kita yang mendengar hendaklah bijaksana menilainya. Orang yang lembut gigi dari lidah, pada pengalaman saya, harus kita selidiki dulu perkhabarannya.  Mulut manis tapi hati berduri.
     'Ala kulli hal, sebenarnya kita sebagai hamba tidak punya hak untuk menilai.  Cerita datang, cerita pergi.  Benar atau tidak, terima atau tidak, ambillah neraca Islam yang telah jelas kaedahnya.  Saya bukanlah baik sangat, apalagi seorang ustazah, tapi saya yakin pada hari pembalasan.  Semoga Allah memelihara saya dari segala yang mendorong kepada dosa dan kemurkaanNya.

 Ya Allah, tetapkanlah hatiku di atas AgamaMU.  Jadikan aku dan keturunanku hamba-hambaMU yang sentiasa mensyukuri nikmatMU, sentiasa ingat kepadaMU dan perbaikilah bagi kami amalan-amalan kami.  Aamiiin, Ya Sami'un 'Alim.

20131001

Hari Ini : BERSYUKUR

Assalamualaikum & Salam Sayang..
     Sebenarnya hari ini saya masih letih.  Baru selesai menjalani sesi 3 hari Intensif Jutawan Industri bersama mentor dan idola saya Dr Azizan Osman. No no no... hari ini saya belum nak bercerita tentang apa yang saya pelajari di sana.  Saya nak kongsi tentang sesuatu yang saya pelajari lama sebelum saya ke sana hinggalah ke hari ini.  Hari demi hari, InsyaAllah.
     Saya adalah ibu kepada 3 orang puteri.  Rumaisak 20 tahun, Humairak 18 tahun dan Huwaina 16 tahun.  Menjalani hidup bersama mereka adalah pengalaman saya yang menjadikan siapa saya sekarang dan mereka jugalah sebabnya saya bertekad mencipta pengalaman baru. 3 tahun daripada sekarang saya akan menjalani hidup yang lebih indah dan bermakna bersama mereka.  Blog ini saya dedikasikan kepada mereka, puteri-puteri nadi hidup saya. Agar 10 tahun akan datang, bila saya telah terbang tinggi, saya tidak lupa dari mana asal saya dan puteri-puteri saya akan bangga membaca pengalaman hidup ibu mereka diabadikan di dalam perenggan-perenggan yang teratur.
     
     Saya telah dibesarkan oleh ibu dan bapa yang sentiasa menekankan pentingnya pelajaran.  Saya telah menjalani zaman kanak-kanak yang indah dan sentiasa ditanamkan nilai-nilai hidup yang tinggi oleh mereka.  Ibu saya, al-Marhumah Hajjah Patemah bt Baba, wanita berjiwa Tun Fatimah yang telah ditakdirkan tewas di tangan kanser. Bapa saya, Hj Izham bin Abdul Aziz, 67, ketua keluarga yang sentiasa meletakkan kepentingan keluarganya melebihi kepentingan diri sendiri. Saya akan ceritakan tentang mereka nanti, bukan hari ini. :D  
      BERSYUKUR.  Saya bersyukur kepada Allah yang telah mengatur setiap saat hidup saya hingga ke hari ini, setiap jatuh bangun, setiap tawa tangis, setiap bahagia derita, setiap sihat sakit, setiap kegagalan, setiap kejayaan, setiap bakat, setiap kelemahan, setiap kealpaan, setiap kebijaksanaan.  Tak tersenarai sebenarnya.  Setiap apa yang telah saya lalui sepanjang 46 tahun hidup saya semuanya telah Allah rencanakan.  Dan rencana siapakah yang lebih baik daripada rencana Allah.  
     Bukan tidak pernah saya persoalkan.  Kenapa aku, Ya Allah?  Bila, Ya Allah?  Bukan sedikit doa saya panjatkan kepada Allah.  Tak sedikit juga kesedihan dan kecewa yang saya lambakkan kepada Allah.  Namun selepas 46 tahun bernafas di bumi Allah ini, baru saya faham erti mengenali Allah.  Bila direnung-renungkan, baru saya sedar bahawa segalanya telah Allah atur dengan begitu indah untuk saya.  Allah beri saya sabar dan tabah yang tinggi.  Allah beri saya mata hati yang tajam untuk melihat.  Allah beri saya hati yang sarat dengan rasa belas terhadap makhluk-Nya. Yang lebih berharga, Allah pilih saya untuk menerima taufiq dan hidayah-Nya. 
     Semua itu Allah beri untuk saya jadikan bekal dalam menghadapi kepahitan hidup yang Allah berikan kepada saya. Memang kadangkala jauh saya tersasar, namun Allah tak pernah membiarkan saya tersasar lama, sentiasa akan dibawaNya saya kembali ke jalan yang sepatutnya.  Jadi hidup saya ini sentiasa ada hentian-hentian yang Allah beri.  Agar saya kembali.  Syukur kepada Allah yang telah menunjukkan jalan pulang yang sepatutnya saya ambil.  Jalan inilah yang akan saya ambil mulai hari ini, tak akan saya kembali lagi ke jalan yang lain.  Semoga kepulangan saya disambut dengan redha dan rahmat Allah nanti.  Terima Kasih Ya Allah.. Jika tidak, tak mungkin saya mampu menulis hari ini.