BismilLahirRahmanirRahim.
Sekian lamanya saya tidak menulis di sini. Entah kesibukan apa yang telah menghalang saya daripada menulis. Tak mengapalah. Itulah yang telah berlalu dari hidup saya, tak mungkin kembali.. masa dan usia.
Saya teringat ketika saya masih seorang pelajar di USM, saya juga aktif dalam menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat. Menjadi sukarelawan dalam bidang kaunseling - Unit Kaunseling Islah. Uniknya kaunseling yang dijalankan semasa itu ialah ianya berlangsung hanya melalui telefon.
Macam-macam masalah yang saya temui dan kebanyakannya berpunca dari jauhnya manusia dengan Penciptanya. Kadangkala kita tidak yakin dengan janji Allah pada kita, maka lahirlah kebimbangan yang melampau sehingga menjadi stress. Kita tidak redha dengan apa yang Allah jadikan dan rezekikan kepada kita, maka lahirlah rasa tidak bersyukur dan runsing memikirkan hari esok yang tidak berduit.
Entahlah. Menulis atau bercakap memang mudah. Namun hendak mempraktikkan dalam kehidupan seharian sentiasa menjadi cabaran yang sangat hebat. Susah memang susah, tapi kena buat jugalah. Dah namanya kita ni hamba Allah.
Kita hanya perlu yakin kepada Allah. Bagaimana nak yakin? Kukuhkanlah kembali tunjang keimanan kita, iaitu aqidah. Perhatikan alam kejadianNya, yang sentasa mengingatkan kita bahawa setiap apa yang Allah jadikan, telah tertulis baginya rezekinya.
Kita berikhtiarlah dan berdoalah. Berdoalah dan berikhtiarlah. Insafilah bahawa ikhtiar kita itu semuanya adalah dengan izin Allah, maka berdoalah kepada Allah agar dilorongkan ke jalan yang akan membawa kita kepada apa yang telah Allah tuliskan untuk kita.
Pegang kuat-kuat di dalam hati. Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya. Allah Maha Berkuasa, tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah, Yang Maha Tinggi dan Maha Agung. Allah.
No comments:
Post a Comment