Diari Hati. Apa yang Terluah. Yang Tidak.. Biarlah Terus Menjadi Doa. Semoga Menjadi Perkongsian Yang Dapat Dimanfaatkan.
Translate
20131003
Indahnya Pulau Pasrah
" Cukuplah Allah bagi kami, sebaik2 pembela dan sebaik-baik penolong " ~ Aali 'Imraan 173
Pernah tak anda berada di dalam situasi berat sebelah? Maksud saya, anda diburuk-burukkan di kalangan teman-teman atau saudara mara tetapi anda tidak mampu membela diri. tidak diberi peluang membela diri atau pun mungkin kata-kata pembelaan anda tidak diterima langsung. Tentu anda rasa sedih, tertekan dan rendah diri yang teramat, kan? Maklumlah, bila berada di kalangan mereka, anda dapat merasakan bahawa mereka semua sedang berkongsi suatu cerita yang anda sendiri tidak pasti apa, tetapi anda dapat merasakan bahawa anda tidak diraikan di situ malah dipandang rendah. Macam hidung tak mancung pipi tersorong-sorong pun ada.. Sedih kan? Rasa nak pergi jauh, sejauh-jauhnya dari semua orang. Kan??
Macamana saya tahu perasaan ni? Sebab saya pernah mengalaminya. Namun saya beruntung sebab dikurniakan Allah sifat sabar yang tinggi. Saya tidak pernah ambil kira apa yang orang kata tentang saya. Bagi saya Allah lebih mengetahui apa yang berlaku. Allah tahu situasi apa yang saya lalui yang jika diberi peluang membela diri pun, tidak mungkin dapat saya ceritakan kepada mereka. Jika pun dapat saya ungkapkan dengan perkataan, saya berani katakan, takkan mungkin mereka faham apa yang saya lalui. Demikianlah yang berlaku yang membawa saya ke sebuah pulau yang saya beri nama Pulau Pasrah. Di pulau itu saya jalani hidup saya bersama anak-anak saya, bercampur dengan orang lain sekadar perlu dan memikirkan bahawa saya dibenci oleh semua orang.
2013 membawa jambatan baru untuk saya keluar dari pulau itu. Saya belajar memaafkan semua orang, saya belajar memaafkan diri sendiri atas kesilapan-kesilapan yang telah saya lakukan. Berada di Pulau Pasrah terlalu lama telah merugikan diri saya dari segi mental, emosi dan ekonomi. Saya sendiri yang memilih untuk memencilkan diri atas sebab yang saya sendiri rasa begitu besar. Begitulah kecilnya jiwa saya suatu masa dulu.
Bukankah sepatutnya saya keluar melawan ombak-ombak besar yang tujuannya nak menenggelamkan saya? Bukankah sepatutnya saya belajar selok-belok berenang dan menyelam agar saya dapat berenang di dasar dan mengurangkan keletihan melawan ombak? Bukankah lebih baik saya membina kekuatan untuk merempuh ombak daripada bersembunyi di pulau sendirian?
Wahh.. Hari ini saya mampu menulis tentang ini adalah kerana izin Allah jua. Syukur, berada di pulau itu telah memaksa saya memintal tali harapan dan pergantungan hanya kepada Dia Yang Maha Kuasa. Dengan tali itulah, saya mampu bergayut kukuh untuk keluar, meredah apa yang datang dan kini sedang mengutip apa yang telah lama terlepas dari genggaman; dan cuba meraih apa yang belum sempat digenggam lagi.
Panjang pula intro saya. Apa yang ingin saya kongsikan hari ini ialah potongan ayat di atas. Benarlah janji Allah tersebut. Memanglah benar, kan.. tapi apa yang saya maksudkan, hari ini Allah mengajar saya untuk benar-benar yakin dengan janji Allah. Kenapa?
Hari ini, setelah lebih 15 tahun membawa rasa rendah diri dan malu kerana pernah diburuk-burukkan oleh seseorang yang suatu masa dulu amat rapat dengan saya, saya mendapat khabar yang bila saya mendengarnya, saya tahu, pembelaan Allah telah datang untuk saya. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu Akbar. Laa ilaha illalLah.
Saya bersyukur. Syukur kerana setelah 15 tahun, akhirnya mereka tahu cerita sebenar. Mungkin selama ini ada yang menyalahkan saya atau mungkin membenci saya bersandarkan kepada cerita yang mereka dengar. Tak mengapa, saya juga mungkin akan mengambil pendirian yang sama jika saya jadi mereka. Saya telah lama maafkan mereka. Saya doakan mereka mendapat iktibar daripada apa yang berlaku. Lidah tidak bertulang, kita yang mendengar hendaklah bijaksana menilainya. Orang yang lembut gigi dari lidah, pada pengalaman saya, harus kita selidiki dulu perkhabarannya. Mulut manis tapi hati berduri.
'Ala kulli hal, sebenarnya kita sebagai hamba tidak punya hak untuk menilai. Cerita datang, cerita pergi. Benar atau tidak, terima atau tidak, ambillah neraca Islam yang telah jelas kaedahnya. Saya bukanlah baik sangat, apalagi seorang ustazah, tapi saya yakin pada hari pembalasan. Semoga Allah memelihara saya dari segala yang mendorong kepada dosa dan kemurkaanNya.
Ya Allah, tetapkanlah hatiku di atas AgamaMU. Jadikan aku dan keturunanku hamba-hambaMU yang sentiasa mensyukuri nikmatMU, sentiasa ingat kepadaMU dan perbaikilah bagi kami amalan-amalan kami. Aamiiin, Ya Sami'un 'Alim.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment