Translate

20131107

Telah tertulis rezeki kita

BismilLahirRahmanirRahim.
Sekian lamanya saya tidak menulis di sini. Entah kesibukan apa yang telah menghalang saya daripada menulis. Tak mengapalah. Itulah yang telah berlalu dari hidup saya, tak mungkin kembali.. masa dan usia.

Saya teringat ketika saya masih seorang pelajar di USM, saya juga aktif dalam menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat. Menjadi sukarelawan dalam bidang kaunseling - Unit Kaunseling Islah. Uniknya kaunseling yang dijalankan semasa itu ialah ianya berlangsung hanya melalui telefon.

Macam-macam masalah yang saya temui dan kebanyakannya berpunca dari jauhnya manusia dengan Penciptanya. Kadangkala kita tidak yakin dengan janji Allah pada kita, maka lahirlah kebimbangan yang melampau sehingga menjadi stress. Kita tidak redha dengan apa yang Allah jadikan dan rezekikan kepada kita, maka lahirlah rasa tidak bersyukur dan runsing memikirkan hari esok yang tidak berduit.

Entahlah. Menulis atau bercakap memang mudah. Namun hendak mempraktikkan dalam kehidupan seharian sentiasa menjadi cabaran yang sangat hebat. Susah memang susah, tapi kena buat jugalah. Dah namanya kita ni hamba Allah.

Kita hanya perlu yakin kepada Allah. Bagaimana nak yakin? Kukuhkanlah kembali tunjang keimanan kita, iaitu aqidah. Perhatikan alam kejadianNya, yang sentasa mengingatkan kita bahawa setiap apa yang Allah jadikan, telah tertulis baginya rezekinya.

Kita berikhtiarlah dan berdoalah. Berdoalah dan berikhtiarlah. Insafilah bahawa ikhtiar kita itu semuanya adalah dengan izin Allah, maka berdoalah kepada Allah agar dilorongkan ke jalan yang akan membawa kita kepada apa yang telah Allah tuliskan untuk kita.

Pegang kuat-kuat di dalam hati. Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya. Allah Maha Berkuasa, tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah, Yang Maha Tinggi dan Maha Agung. Allah.

20131104

SALAM MAAL HIJRAH: Hati tempat jatuh pandangan Allah

Salam Maal Hijrah. Semoga tahun ini adalah yang terbaik selama umur kita di bumi ini. Semoga amal kebaikan kita di terima Allah, dan amal kejahatan kita diampuniNYA. Semoga Allah menganugerahkan kita dengan rahmah dan keampunanNYA. Saya teringat sebuah kisah yang kalau dulu-dulu masa zaman di USM, selalu disebut-sebut di dalam kuliah-kuliah agama. Kisah seorang pencuri yang hidup di zaman Nabi Musa a.s... seumur hidupnya 40tahun kerjanya hanyalah mencuri.

Ditakdirkan Allah, suatu hari beliau melihat seorang ahli ibadah (abid) berjalan dan terlintas di hati beliau untuk berjalan bersama abid tersebut, dengan harapan mendapat sedikit keberkatan.. Lalu beliau pun berjalan ke arah abid tersebut. Namun sebaik melihat pencuri itu menghala ke arahnya, abid itu pun terus berasa takut dan cuba mengelak dengan berjalan lebih laju agar tak dapat disaingi oleh pencuri tadi. Tahu apa yang terlintas di hati si abid tadi? Abid tadi takut sekiranya berjalan sama dengan pencuri itu, maka rosak segala kebaikan dan amalannya selama 40tahun hidupnya. Lagipun dia berasa tidaklah setanding untuk dia berjalan dengan si pencuri... kan dia seorang abid yang telah istiqamah beribadah selama 40 tahun.

Akhirnya setelah beberapa lama, sampailah mereka kepada Nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s. terus berpaling dan bersabda kepada mereka berdua, "Aku baru sahaja mendapat wahyu dari Allah Taala supaya memberitahu kamu berdua bahawa segala amalan kamu telah dimansuhkan oleh Allah."

Terkejutlah keduanya. Si pencuri berbahagialah, kerana dosanya mencuri selama 40 tahun dimansuhkan.. namun si abid berasa sangat sedih dan dukacita kerana amalannya selama 40tahun telah hapus sekelip mata.

Rupa-rupanya si pencuri itu, walaupun kerjanya mencuri, dia tidak suka akan perbuatannya itu. Dia miskin dan tanggungannya banyak. Masyarakat ketika itu sudah rosak dan orang kaya enggan membantu fakir miskin. Dia mencuri kerana terpaksa. Oleh itu, setiap kali dia mencuri, dia amat merasa bersalah dan berdosa. Jiwanya terseksa dan menderita. Selama 40 tahun dia menanggung rasa berdosa itu dan selama itu juga jiwanya parah menanggung derita. Selama 40 tahun hatinya merintih meminta belas kasihan, keampunan dan mengharapkan kasih sayang Tuhan.

Si abid pula begitu yakin dan berasa amal ibadahnya yang banyak itu telah menjaminkan syurga untuknya. Sehingga dia berasa sungguh mulia dan terlalu baik. Sehingga dia berasa dirinya tidak layak untuk bergaul dan berjalan sama seorang yang berdosa dan hina seperti si pencuri. Dia rasa dia hanya layak berjalan bersama para Nabi.

Subhanallah. Cerita ini begitu terkesan di jiwa saya, sentiasa berulang-ulang di dalam minda saya. Betapalah kita ini perlukan kepada rahmat dan keampunan daripada Allah. Apa juga kebaikan maupun kejahatan walaupun sebesar zarah Allah Maha Melihatnya. Maha Suci Allah yang mengetahui segala isi hati manusia. Yang tidak melihat akan amalan-amalan lahir tetapi apa yang ada di dalam hati. Nikmaat kesusahan dan kesenangan semuanya Allah datangkan sebagai ujian. Hakikatnya kita hanyalah hamba, yang di mana pun duduknya kita di dunia ini, status kita yang hakiki adalah hamba. Beribadahlah kita sebagai hamba. Berjalanlah kita di atas muka bumi ini sebagai hamba. Hambanya kita hamba di jiwa.  Hamba yang tali hatinya hanya bertaut kepada Allah swt.

Tugas kita hanyalah beribadah kepada Allah sebagai hambaNYA. Hak Allah lah untuk menilai segalanya. Moga kita dijauhkan dari sifat sombong dan berasa mulia dengan sebab banyaknya amal kebaikan kita...

سنن أبي داوود ٣٥٦٨: حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يُونُسَ حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرٍ يَعْنِي ابْنَ عَيَّاشٍ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ إِبْرَاهِيمَ عَنْ عَلْقَمَةَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ مِنْ كِبْرٍ وَلَا يَدْخُلُ النَّارَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ خَرْدَلَةٍ مِنْ إِيمَانٍقَالَ أَبُو دَاوُد رَوَاهُ الْقَسْمَلِيُّ عَنْ الْأَعْمَشِ مِثْلَهُ
Sunan Abu Daud 3568: 
"Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Tidak akan masuk surga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi, dan tidak akan masuk ke dalam neraka orang yang dalam hatinya terdapat keimanan sebesar biji sawi." Abu Dawud berkata, " Al Qaslami meriwayatkannya dari Al A'masy seperti hadits ini."


20131101

Azam Tahun Baru 1435H

Diam tak diam beberapa hari lagi kita akan menyambut Maal Hijrah.  Tahun Baru bagi orang Islam, tahun 1435H. 2 bulan lagi pulak, sambut tahun baru 2014. Sekejap saja masa berlalu, terasa baru lagi berpindah ke utara ni.. diam tak diam dah hampir setahun di sini.
Malam ni selepas Isya' tidak banyak yang saya lakukan.  Pasang laptop untuk update page-page saya di facebook, jawap PM mana yang ada, update di group Seri Niaga Bazaar.  Yang saya nak kongsikan ialah salah satu PM yang saya terima hari ini.  Beliau bertanyakan tentang pemasaran di facebook.  Beliau ada produk, tapi tidak tahu bagaimana untuk memasarkan.  Sedikit sebanyak saya cuba jawab persoalan-persoalan beliau semampu saya.  Akhirnya kami setuju untuk berjumpa esok lusa ni, untuk perbincangan lanjut. Nanti ye dik, kita jumpa kita cerita habis-habis.  Pasti ada jalannya...
Lalu saya pun dok berfikir-fikir sepetang tadi.  Mungkinkah ini masanya yang sesuai untuk saya mulakan.  Membantu.  Memberi.  Menambah nilai.  Memang sejak balik daripada program IMKK Dr Azizan Osman, saya menanam azam untuk membantu dan menambah nilai kepada orang lain.  Namun belum banyak yang saya buat.  Pendek cerita tak ke mana lagi pun.  Dok bercongak-congak dan masih teragak-agak.  Bak kata mentor saya, terhegeh-hegeh.  Sampailah balik daripada IJI, pun masih tak bergerak.  Aduih, apalah agaknya yang berat sangat.  Kata nak terbang macam helang... tapi masih terkedek-kedek macam itik pulang petang.
    Maka sempena tahun baru hijriah ni, saya berjanji untuk memulakan langkah pertama saya untuk memberi dan menambah nilai, dengan harapan terlaksana tanggungjawab saya.  Saya ada ilmu, walaupun sedikit, namun jika tidak saya kongsikan, saya berdosa.  Petang ini, telah saya jumpa kunci kepada mangga yang telah merantai kaki saya selama ini, dan telah saya bukakan.
     Saya sedar saya ada kelebihan yang boleh saya kongsikan terutamanya kepada saudara-saudara saya yang wanita.  Yang mahu berniaga tapi kurang pendedahan.  Yang ada produk tapi kurang nampak jalan memasarkannya.  Atau yang ada produk tapi tiada masa untuk menguruskannya dengan baik.
     Saya bukanlah pandai apa lagi yang terbaik untuk mengajar, tapi ilmu ini takkan membiak jika saya tidak biakkan dan kongsi dengan lebih ramai orang. Lagi pun kalau nak tunggu diri jadi sempurna dan tersangat pandai baru nak berkongsi ilmu.. memang mission impossible lah, kan?  Kenapa? Nobody's perfect... so nak tunggu sampai jadi perfect memang takkan berlaku.  Hehe.  Semoga lepas ini hidup saya lebih bermakna dan saya dapat memberi manfaat kepada orang lain.  Kan orang yang terbaik tu ialah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain.. kan??
     Okay, stay tuned.  Saya akan update sesi perkongsian saya nanti.. Saya akan mulakan di 5 kawasan dulu.  Saya akan manfaatkan diri saya  ini semaksima mungkin.  Semoga tertebus kelalaian saya selama ini dalam menjalankan peranan sebagai khalifah Allah di bumiNYA ini.  Amiin..

Salam sayang,
Aida Izham
The Boss
Modern Wafdan / R&B Deli-Bites / Kedai Cik Puan
Page Manager
16 Kisses Closet